Friday 22 February 2013

Forum Muflis@Bankrap.. Anda Masih Ada Peluang Kedua - PART 3

Forum..

Panel Seterusnya Datuk Nadzim mengetengahkan empat isu utama mengapa seseorang itu jatuh muflis. Beliau menekankan bahawa kebanyakan peminjam kepada Pinjaman Bank Mikro ditindas oleh sistem Bank itu sendiri dimana pihak Bank terus menolak pinjaman mereka untuk 3 bulan faedah pada bulan pertama. Syarikat yang baru ditubuhkan belum lagi stabil tetapi Bank begitu tegar mengambil kesempatan di atas kesempitan para peminjam. 

Keduanya, mangsa Muflis juga adalah disebabkan berlakunya pinjaman kereta ke-2 tanpa pengetahuan mereka sendiri. Kemungkinan ada pihak yang memanipulasikan keadaan dan yang menjadi mangsa adalah orang terbabit. Seterusnya, beliau juga mengatakan ada kes yang berlaku dimana mangsa langsung tidak tahu menahu bahawa dia diisytiharkan bankrap kerana berhutang RM24,000,000. Kes ini amat berat dan kita harus mengambil langkah berjaga-jaga agar kad pengenalan, tandatangan, mahupun cop jari kita tidak disalahgunakan oleh pihak tertentu.

Akhir sekali, beliau memberi contoh ada segelintir mangsa yang ditipu oleh pihak pemaju perumahan yang bekerjasama dengan pihak Bank dan akhirnya rumah yang dijanjikan tidak siap, mereka pula yang diisytiharkan muflis. Keadaan yang berlaku pada mereka ini kemudiannya menyebabkan mereka disenaraihitamkan dan maklumat juga terkumpul di CTOS. Apabila maklumat mereka kekal di dalam sistem CTOS ini, segala urusan perniagaan amat sukar dijalankan kerana pemberi kredit tidak mahu berurusan dengan mereka yang telah disenaraihitamkan. Seharusnya, para usahawan yang tekad ini diberi peluang kedua untuk mereka bangun daripada kegagalan sebelum ini sedangkan usahawan seperti Steve Job dan Bill Gates juga berjaya setelah diberikan peluang kedua. 

## CTOS adalah organisasi yang membekalkan maklumat kepada Pemberi Kredit melalui media elektronik. Pengguna Utama sistem CTOS adalah bank, pembiaya, peniaga, firma-firma sekuriti, syarikat-syarikat insurans, kredit dan syarikat-syarikat kad caj dan firma undang-undang.

Seterusnya, Forum dibuka untuk mendengar luahan dan pandangan daripada para hadirin yang dijemput yang kebanyakannya adalah mangsa Muflis yang dianiaya.


Encik Rafi
Encik tersebut mencadangkan agar dihapuskan sistem kroni. Seharusnya kekayaan negara dibahagi sama rata kepada rakyat. Kerjasama PPIM dan Sukaguam amat diperlukan dalam hal ini bagi memastikan sesuatu cadangan itu dilaksanakan. Dia juga meluahkan rasa tidak puas hati apabila janji yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan mengenai pinjaman RM50,000 tanpa faedah kepada penjaja yang mempunyai masalah melalui Bank Rakyat menghadapi penolakan. Hal ini berlaku kerana Bank Rakyat meletakkan syarat pengesahan maklumat mereka daripada CTOS sedangkan mereka diberi harapan agar memperoleh peluang kedua dari pihak kerajaan untuk bangun daripada kegagalan lepas. 

Encik Mansor Muhammad
Encik tersebut mencadangkan agar Menteri yang terlibat untuk turun padang memantau sendiri agensi-agensi kerajaan seperti Bank Negara yang menindas rakyat. Tindakan harus diambil kerana apa yang dijanjikan tidak selari dengan perlaksanaan.

Encik Mohd Iskandar
Encik Mohd Iskandar pada ketika itu cuba untuk menyejukkan keadaan di mana situasi sangat panas dengan isu perlaksanaan oleh agensi-agensi terbabit. Dia menasihatkan agar setiap individu agar berfikiran terbuka dan menimbang setiap perkara dengan rasional (check and balance). Dia juga menasihatkan agar sesuatu keputusan tidak dibuat berdasarkan emosi semata-mata.

Seterusnya, forum diteruskan dengan pendekatan para panel untuk memberi maklumbalas terhadap cadangan dan luahan hati tersebut.

Dato' Moehamad Izat menghujahkan peribahasa beliau "jangan kerana rumput, mati kuda terjelir". Hal ini berkaitan dengan insiden dimana banyak syarikat yang tertipu dan tertindas disebabkan masalah perjanjian. Oleh hal yang demikian, beliau menasihatkan para usahawan agar tidak takut untuk rugi melabur dalam hal guaman syarikat. Melabur untuk upah peguam adalah lebih baik daripada ditipu di masa hadapan.

Datuk Khairul Anwar pula menguatkan hujah beliau mengenai 'Sistem Ekonomi Pisau' dimana tiada kesamarataan di dalam tindakan terhadap kelas atasan dan bawahan mengenai ketegasan Insolvensi menjatuhkan hukuman kebankrapan. Oleh itu, beliau menegaskan pihak sukaguam akan menghantar memorandum pemindaan Akta Kebankrapan 1967 dengan kadar segera sebelum pembubaran Parlimen.

Hj Mohd Zulfi, Perak
Encik tersebut meluahkan masalah yang dihadapinya apabila ditipu oleh pihak peguam untuk menyelesaikan masalah kebankrapan yang dihadapinya semenjak 12 tahun yang lalu. Beribu-ribu wang telah dibayar kepada pihak guaman namun tiada sebarang surat yang sampai ke pihak Insolvensi. 
Bagi permasalahan ini, Datuk Khairul Anwar pasti bahawa jenayah kolar putih ini dapat diselesaikan dengan membuat aduan kepada Jawatankuasa Disiplin Negeri dan bersedia untuk membantu Encik tersebut melalui organisasi Sukaguam. Usaha sukarelawan peguam seperti ini amat bagus dalam membantu golongan-golongan yang teraniaya.




No comments:

Post a Comment