Wednesday 20 February 2013

Forum Muflis@Bankrap - Anda Masih Ada Peluang Kedua - PART 1


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

  1. وَالْعَصْرِ Demi masa.
  2. إِنَّ الإنْسَانَ لَفِي خُسْرٍ Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian,
  3. إِلا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.
[Surah Al-'Asr]
Tarikh    : 18 Februari 2013 (Isnin)
Masa       : 8.30pg - 1.30ptg
Tempat   : Dewan Tun Dr Ismail, PWTC KL


18 Februari 2013, Isnin - Dewan Tun Dr Ismail PWTC dibanjiri oleh individu-individu yang telah diisytiharkan bankrap dan hampir bankrap. Isu ini membawa mereka dari seluruh pelusuk Malaysia samada dari Sabah, Perlis, Terengganu, Selangor, dan lain-lain. Majlis ini telah dirasmikan oleh Khairy Jamaluddin selaku Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO. Tujuan Forum ini diadakan adalah untuk mencari penyelesaian bagi mereka yang disenaraihitamkan serta diisytihar muflis terutama golongan muda bagi mendapatkan kembali hak mereka serta bebas dari belenggu bankrap.

Setelah ucapan daripada Khairy Jamaluddin selesai dan beriringan ke bilik media, suasana mula menjadi gamat serta berbahang emosi apabila pihak penganjur mengumumkan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia dan Bank Negara tidak dapat menghadirkan diri ke Forum tersebut. Hal ini amat mengecewakan para hadirin kerana mereka sanggup mengambil inisiatif untuk berkumpul di sana pada hari tersebut bagi membincangkan masalah yang membelenggu mereka selama ini secara bersama.

Moderator yang sangat berhikmah dalam berbicara iaitu Dr Wan Sabri Wan Hussin, Timbalan Presiden HEP Kolej Poly-Tech MARA telah memperkenalkan 3 orang panel jemputan pada pagi itu iaitu Datuk Paduka Nadzim Johan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Dato' Khairul Anwar Rahmat, Presiden Sukarelawan Peguam (Sukaguam), dan Dato' Moehamad Izat Emir Bin Achmad Habechi, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA).

Warga OTAi Franchise Sdn Bhd turut sama mengikuti Forum tersebut bagi mengikuti isu-isu semasa mengenai mangsa-mangsa Muflis ini. Kejadian yang menimpa mangsa Muflis ini dapat dijadikan iktibar oleh para warga OTAi supaya berhati-hati dalam melaksanakan urusan perniagaan di masa hadapan. Terdapat permasalahan yang berpunca daripada menjadi direktor syarikat dan kemudiannya menanggung hutang syarikat yang bukan milik mereka haruslah diteliti oleh setiap usahawan tunas agar tidak dipergunakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. 

Berdasarkan rekod, pihak penganjur mendapati, ramai yang bankrap adalah disebabkan pinjaman sewa beli kenderaan iaitu sekitar 26 peratus, pinjaman perumahan (12 peratus), hutang (21 peratus), pinjaman persendirian (13 peratus) dan pinjaman perniagaan sebanyak 11 peratus.

Antara isu yang dipersoalkan oleh Dato' Khairul Anwar adalah, adakah Akta Kebankrapan 1967 masih relevan di Abad 21 ini sedangkan Akta tersebut telah dilaksanakan melebihi 3 abad yang lalu. 'Sistem Ekonomi Pisau' yang tajam diperingkat bawah dan tumpul diperingkat atas menunjukkan pihak bertindak hanya menekan golongan bawahan di mana golongan atasan yang berhutang berjuta-juta masih terlepas dari hukuman Muflis manakala golongan bawah terus dijatuhkan hukum Muflis jika hutang mereka melebihi RM30,000. Nilai kini sudah tidak sama dengan nilai zaman dahulu. Sehubungan itu, Akta Kebankrapan 1967 disarankan agar dikaji semula oleh pihak berkuasa. Justeru itu, pihak Sukaguam yang diwakili oleh Dato' Khairul Anwar dengan jawatankuasa beliau telah merangka memorandum untuk dibentangkan di Parlimen bagi memastikan rakyat yang tertindas mendapat pembelaan. 



Dirasmikan oleh :
Khairy Jamaluddin, Pengerusi Biro Ekonomi Pemuda UMNO

Moderator :
Dr Wan Sabri Wan Hussin, Timbalan Presiden HEP Kolej Poly-Tech MARA


Ahli Panel :
Datuk Paduka Nadzim Johan, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM)
Dato' Khairul Anwar Rahmat, Presiden Sukarelawan Peguam (Sukaguam)
Y. Bhg. Dato' Moehamad Izat Emir Bin Achmad Habechi, Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (PERDASAMA)

No comments:

Post a Comment